Sunday, October 24, 2010

Perbezaan Imalah dan Taqlil (Mini Tesis)

DEFINISI IMĀLAH DAN TAQLĪL


Secara amnya, Ilmu Tajwid itu terkandung dalam Ilmu Qiraat kerana kedua-dua bidang ini tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Selain itu, Ilmu Qiraat ini terbahagi kepada dua bahagian yang besar iaitu bahagian Usul dan bahagian Farsyul Huruf. Usul ialah bahagian yang membicarakan kaedah-kaedah umum yang terpakai untuk semua tempat di dalam al-Quran mengikut perbezaan Qiraat yang menepati syarat kaedah Usul tersebut.

Manakala bahagian Farsyul Huruf pula membicarakan kalimah-kalimah al-Quran yang berbeza bacaan di antara Qurra’ dalam sesebuah surah al-Quran tertentu. Adalah disebutkan bahawa Usul Qiraat itu terkandung dalam 36 hukum atau kaedah. Antaranya ialah Izhar, Idgham, Iqlab, Ikhfa’, Silah, Mad, Tawassut, Qasr, Ishba’, Takfif, Tahqiq, Tashil, Ibdal, Naqal, Fatah, dan termasuklah juga Imālah dan Taqlil yang penulis akan nyatakan dengan lebih terperinci lagi tentang keduanya.

Pengertian Imālah

Dari Sudut Bahasa
Menurut Qāmus al-Mu’jam al-‘Arābi al-Asāsi, Imālah dari segi bahasa berasal dari perkataan (أمال,يميل,إمالة) seperti contoh ayat:
قارئ القراءن استعمل الإمالة في قراءته
Maksudnya:
Qari al-Quran telah menggunakan Imālah di dalam bacaannya.


Menurut Syeikh Idris ‘Abdul Rāuf al-Marbawi dalam Qamus al-Marbawi, perkataan Imālah dari segi bahasa membawa maksud cenderung sebelah ataupun senget.
Menurut pendapat Dr. Muhammad Sālim Muhaysin pula, maksud Imālah dari segi bahasa ialah ta’wij) ( تعويجiaitu terpesong ataupun condong.

Dari Sudut Istilah
Imālah dari sudut istilah ialah menyebut(melafaz) baris fathah cenderung kepada baris kasrah dan huruf Alif cenderung kepada Ya’dan dikenali sebagai Imālah Kubro.

Selain itu, pendapat Imam al-Jazari mengenai takrif Imālah juga seperti di atas dan beliau juga mengatakan bahawa Imālah mempunyai nama lain iaitu idja’( الإضجاع ) dan al-bathh(البطح).


Pengertian Taqlil

Dari Sudut Bahasa
Menurut Qāmus al-Mu’jam al-‘Arabi al-Asas, Taqlil dari segi bahasa berasal dari perkataan قلل,يقلل,تقليلا) ) yang membawa maksud sedikit.
Dari Sudut Istilah
Taqlil dari sudut istilah ialah menyebut(melafaz) huruf dengan keadaan antara fathah dan Imālah Kubro. Taqlil ini juga dikenali sebagai Imālah Sughro dan juga antara dua lafazبين اللفظين) ).
Di samping itu, Ibn al-Jazari ada mengatakan bahawa terdapat juga istilah lain bagi Taqlil ini iaitu Taltif(التلطيف) dan juga Baina Baina(بين بين).


Sejarah Ringkas Imālah dan Taqlil

Di antara persoalan yang sering timbul ialah dari manakah asalnya Imālah dan Taqlil itu? Bagi menjawab soalan di atas, terdapat beberapa pendapat ulama yang membahaskan asal-usul Imālah itu. Pendapat yang pertama mengatakan bahawa Imālah itu berasal dengan zatnya yang tersendiri dan pendapat yang kedua pula mengatakan bahawa Imālah adalah cabang daripada al-Fath. Walaubagaimanapun, pendapat yang pertama lebih tepat kerana al-Fath dan Imālah adalah salah satu daripada bahasa yang zahir digunakan antara kabilah Arab sebelum zaman kedatangan Islam lagi.

Menurut pendapat Imam Abū‘Amr ad-Dāni(wafat 444 hijrah) mengatakan bahawa al- Fath dan Imālah adalah dua kata yang masyhur yang tersebar pada lisan bangsa Arab di mana al-Quran turun dengan bahasa mereka. Al-Fath adalah bahasa penduduk Hijaz seperti Quraisy, Saqif, Hawāzan dan Kinānah. Manakala Imālah pula adalah bahasa kebanyakan daripada bahasa penduduk Najad, seperti Tamim, Asad dan Qais.

Selain itu, Imam Jalāl al-Din ‘Abd al-Rahman al-Suyūti telah menukilkan kata-kata Abu Bakar al-Wasiti yang mengatakan bahawa terdapat lima puluh bahasa ataupun dialek arab di dalam al-Quran antaranya ialah Quraisy, Saqif, Hawazan, Huzail, Kinānah, Khas’am, al-Khazraj, Ash’ar, Numair, Qais ‘Ailan, Jurhum, al-Yaman, Azdi Shanuah, Kindah, Tamim, Himyar, Madyan, Lakhmin dan sehinggalah seterusnya. Oleh yang demikian, nyatalah kepada kita bahawa terdapat di dalam al-Quran kandungan bahasa dan dialaek Arab yang begitu banyak yang menunjukkan bahawa kebenaran al-Quran itu yang datangnya daripada Allah S.W.T.


Manhaj Bacaan Imālah dan Taqlil Imam Qiraat Tujuh

Terdapat tujuh Qurra’ yang membaca Imālah dan Taqlil iaitu:

(i) Qurra’ yang membaca dengan Imālah Kubro(Imālah) iaitu Hamzah dan Kisaie.

(ii) Qurra’ yang membaca dengan Imālah Sughro(Taqlil) iaitu Warsy.

(iii) Qurra’ yang membaca dengan Imalah Kubro(Imālah) dan Imālah Sughro(Taqlil) iaitu Abū ‘Amru.

(iv) Qurra’ yang membaca dengan kadar sedikit antara Imālah Kubro(Imālah) dan Imālah Sughro(Taqlil) iaitu Ibn ‘Amir, ‘Asim dan Qalun.

(v) Qurra’ yang tidak membaca Imālah Kubro(Imālah) dan Imālah Sughro(Taqlil) iaitu Ibn Katsir.


Ciri-Ciri Imalah dan Taqlil
Imam al-Jazari mengatakan bahawa sebab-sebab Imālah(Imālah Kubro) dan Taqlil(Imalah Sughro) itu berpandukan kepada dua hal iaitu yang pertama ialah Kasrah dan yang kedua ialah adalah Ya’. Setiap dari keduanya berada sebelum atau setelah tempat Imālah. Secara umumnya, Imālah dan Taqlil berlaku pada beberapa keadaan berikut:

(1) Terdapat Zawatil Ya’ di hujung kalimah dan sebelumnya ada alif soghiroh ketika wasal atau waqaf:
(a) Pada Isim. Contoh الهدى :surah Taha ayat 47.
(b) Pada Fi’el. Contoh: أتى surah al-Insan ayat 1.
(c) Pada Harf. Contoh: بلى surah al-Baqarah ayat 81.
Pada tiga keadaan di atas, Imam Hamzah, Imam al-Kisaie dan Imam Khalaf al-‘Asyir membaca dengan Imālah. Imam Warsy membaca dengan Taqlil secara khilaf.


(2) Huruf Hijaiah pada awal pembukaan 19 Surah:
Contoh: طه(awal surah Toha) طس(awal surah an-Naml)
Imam Syu’bah(Rawi kepada Imam ‘Asim), Imam Hamzah, Imam al-Kisaie dan Imam Khalaf al-‘Asyir membaca dengan Imālah. Bagi Imam Warsy dan Imam Abu ‘Amru akan membaca Imālah huruf Ha pada awal surah Toha sahaja.


(3) Terdapat huruf Alif pada kalimah الناس apabila Huruf Sin berbaris Kasrah:
Contoh: الناس surah an-Nas ayat 2.
Hanya Imam Duri Abu ‘Amru sahaja yang membaca Imālah.



(4) Huruf Alif berada sebelum Huruf Ra’ yang berada di hujung kalimah serta
berbaris kasrah asli:
Contoh: الكفار surah al-Fath ayat 29.
Imam Abu ‘Amru dan Duri al-Kisaie membaca Imālah.

(5) Huruf Alif yang ditulis Ya’:
Contoh: المأوى surah al-Nazi’at ayat 39.
Imam Hamzah, Imam al-Kisaie dan Imam Khalaf al-‘Asyir membaca Imālah.


(6) Huruf Alif selepas huruf Kaf pada kalimah كافرين :
Contoh: كافرين surah al-‘Imran ayat 100.
Imam Abu ‘Amru, Imam Duri al- Kisaie dan Ruwais membaca dengan Imālah. Imam Warsy membaca dengan Taqlil.



(7) Huruf Alif pada kalimah جبارين :
Contoh: جبارين surah al-Maidah ayat 22.
Imam Duri al-Kisaie membaca dengan Imālah. Imam Warsy membaca dengan Taqlil secara khilaf.

(8) Huruf Alif pada Fe’el al-Madhi as-Sulasi(فعل المماضي الثلاثي) pada 10 kalimah:
Contoh: زاد,وزاغ,وشاء,وجاء,وحاق,وضاق,وطاب,وخاب,وران
Imam Hamzah akan membaca Imālah pada semua kalimah di atas, Imam Ibnu Zakwan(rawi Imam Ibnu ‘Amir) membaca Imālah hanya pada kalimah yang dihitamkan di atas sahaja.

(9) Huruf Ya’ pada kalimah أحيا :
Imam Hamzah membaca dengan Imālah jikalau ada huruf Wau sebelumnya dan Imam al-Kisiae membaca dengan Imālah tanpa huruf Wau sebelumnya seperti contoh di atas.

(10) Waqaf pada Ha’ Ta’nis secara Ijmali:
Contoh: خليفة(surah al-Baqarah ayat 30) معدودة(surah al-Baqarah ayat 80)
Hanya Imam al-Kisaie yang membaca Imālah kecuali jika ada alif sebelum Ha Ta’nis, beliau akan membaca dengan Fathah.


(11) Huruf Alif Ta’nis:
Contoh: سلوى(surah al-Baqarah ayat 57), الدنيا(surah al-Baqarah ayat 114)
Imam Hamzah dan Imam al-Kisaie membaca dengan Imālah. Manakala Imam Warsy dan Imam Abu ‘Amru membaca dengan Taqlil.

(12) Terdapat lima kalimah yang ditulis dengan Ya’ di dalam Mashaf yang dilarang untuk di baca Imālah dan Taqlil iaitu:
(a) ( حتى ) (لدى) (على) (إلى) (زكى )



Faedah Imālah dan Taqlil

Faedah Imālah dan Taqlil ini ialah untuk memudahkan pengucapan kerana lidah itu akan naik dengan al-Fath dan akan menurun dengan Imālah. Ini kerana, sebutan yang condong ke bawah itu lebih ringan untuk dilaksanakan daripada sebutan yang menaik.


Cara penerimaan bacaan Imālah dan Taqlil

Sudah menjadi Sunnatullah bahawa antara syarat utama seseorang itu menjadi ilmuan, ia perlu bertalaqqi dengan masyayikh dan guru yang thiqah dan muktabar kerana Rasulullah S.A.W. juga bertalaqqi secara langsung dengan Jibril A.S. dan para sahabat R.A. pula mengikut jejak langkah yang sama dengan bertalaqqi dan berguru dengan Rasulullah S.A.W. begitulah seterusnya sehingga ke hari ini.

Terlebih dahulu perlulah diingatkan bahawa adab murid dengan guru itu perlu diutamakan terlebih dahulu dalam menuntut ilmu seperti kata Imam al-Jazari di dalam nazamnya iaitu:

وليلزم الوقار والتأدبا * عند الشيوخ إن يرد أن ينجبا
Maksudnya:
“Lazimlah(wajiblah) tenang dan beradab ketika bersama Syaikh(guru) bagi sesiapa yang ingin berjaya.”

Pada asalnya, pembelajaran Qiraat ini memerlukan kepada penghafalan matan dan talaqqi. Proses talaqqi amat penting bagi membolehkan seseorang pelajar itu mendapat sanad yang sahih bagi memastikan ketepatan bacaan sebagaimana bacaan Rasulullah S.A.W. Ini kerana, menurut al-Zarqāni mengatakan bahawa perkara pertama dalam mempelajari atau mengambil bacaan al-Quran adalah secara talaqqi.



KESIMPULAN

Dengan turunnya al-Quran, ia menjadi sumber utama kepada perundangan dan menjadi tunjang kepada perkembangan ilmu. Di dalam al-Quran banyak disebut tentang fakta-fakta atau hal-hal yang berkaitan dengan sesuatu ilmu dan akhirnya berkembang serta menjadi bidang yang utama pada zaman ini, contohnya ilmu fiqh, ilmu sains, ilmu perubatan dan berbagai-bagai lagi. Daripada proses perkembangan ilmu inilah lahirnya satu ilmu yang membicarakan tentang bentuk-bentuk bacaan dan perbezaan huruf serta kalimah yang terdapat pada al-Quran iaitu ilmu Qiraat. Ianya diamalkan di seluruh pelusuk dunia mengikut kaedah bacaan para imam yang disepakati di tempat masing-masing, kaedah bacaan yang diamalkan di negara kita adalah dari Imam 'Asim melalui perawinya iaitu Syukbah dan Hafs, manakala di negara-negara lain pula antaranya Imam Nafi', Imam Ibn Kathir, Imam Abu 'Amru dan macam-macam lagi.

Kesimpulannya, penulis berasakan perlu untuk setiap daripada kita untuk bermusyafahah dan bertalaqqi dengan guru yang mempunyai sanad bacaan yang sampai terus kepada Rasulullah S.A.W bagi mengambil bacaan yang memerlukan penglihatan dan pendengaran seperti bacaan Raum, Isymam dan juga topik perbincangan iaitu Imālah dan Taqlil ini agar bacaan kita tepat dan betul sebagaimana bacaan Rasulullah S.A.W.



PENUTUP

Al-Quran merupakan mukjizat yang diturunkan oleh Allah s.w.t. dimana terdapat keindahan-keindahan pada bahasa dan isi kandungannya. Bagi mengindahkan lagi kalam Allah ini, perlulah dialunkan dengan bacaan-bacaan yang baik dari sudut tajwid, makhraj huruf serta mengikut bacaan imam-imam Qiraat. Ilmu Qiraat adalah satu-satunya ilmu yang terpenting bagi mereka yang mempelajari dan membahaskan kandungan al-Quran dan menghafalnya. Ilmu ini juga merupakan asas-asas yang terlalu penting bagi ulama'-ulama' terdahulu di dalam kajian dan penyelidikan mereka untuk memahami al-Quran melalui kaedah Bahasa Arab dan mendalami makna ayat-ayat al-Quran di dalam ilmu tafsir. Bacaan Qiraat ini mestilah dipelajari daripada guru yang mahir mengenainya secara talaqqi dan musyafahah bagi mengelakkan kesalahan di dalam membacanya. Hanya pembelajaran yang tekun dan berterusan sahaja memungkin kita menguasainya. Qiraat tidak cukup dengan mengenali dan mempelajarinya secara teori semata-mata tetapi lebih jauh daripada itu perlu ada satu latihan praktikal yang intensif bagi memastikan ketetapan dan keberkesanannya.
Diharapkan dengan terhasilnya latihan ilmiah ini diberkati oleh Allah s.w.t dan dapat dimanfaati oleh segenap lapisan masyarakat yang mencintai ilmu Qiraat. Walaubagaimanapun, pembelajaran al-Quran dan al-Qiraat ini tidak akan sempurna jika dipelajari melalui kitab sahaja, sebaliknya mesti berguru secara musyafahah dan bertalaqqi dengan orang yang takhasus dalam bidang ini. Sebarang teguran dan komen terhadap apa jua kesilapan amatlah saya harapkan. Semoga dengan penulisan kajian ilmiah ini dapat memberi cetusan minat kepada pembaca untuk mendalami ilmu Qiraat.

4 comments:

  1. Alhamdulillah.Jangan berhenti memberi dan kongsi ilmu.semoga Allah swt berkati anda.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum encik, kalau boleh encik syarah ikut bait, lagi senang orang faham, terima kasih. Apa-apa pun info yang bermanfaat. Allahu yutfah 'alaik

    ReplyDelete
  3. MasyaAllah, Semoga Antum selalu diberikan keberkahan oleh Allah yg ikhlash menge-share tulisannya ttg Imalah dan Taqlil. Lebih baik lagi kalau dimunculkan berbagai referensinya. Syukran, mantap.

    ReplyDelete